Ticker

6/recent/ticker-posts

KESAN INGKAR PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KEPADA MASA DEPAN ANDA / PESALAH JUVANA / REMAJA

Perintah Kawalan Pergerakan kini memasuki fasa kedua yang bermula pada 1 April 2020 hingga 14 April 2020. Walaupun terdapat pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa, namun masih ada sesetengah yang masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan sesuka hati keluar rumah tanpa sebarang urusan penting. Hari ini, melalui Laman Facebook Polis Daerah Tawau, 5 lelaki berdepan dengan tindakan tegas. 


  1. Pada 30.03.2020 jam lebih kurang 5 petang, sepasukan polis semasa membuat rondaan telah menahan seorang lelaki berumur 16 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes khianat di belakang sebuah restoren di Fajar berdasarkan rampasan barang-barang seperti playar, pemutar skru, 'allen key' dan 'allen bolt'. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Kes ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Kanak-Kanak pada 23 April ini.
  2. Akibat melanggar PKP dan gagal memberi alasan munasabah seorang lelaki  tempatan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan dikenakan hukuman denda RM800 atau penjara selama 4 minggu sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh semasa hari kejadian turut memecut kenderaan dan membuat pusingan U merbahaya tanpa menghiraukan keselamatan petugas semasa sekatan jalan raya di KM50 Jalan Semporna Tawau.
  3. Semasa rondaan dari Mobile Patrol Vechicle (MPV) di kawasan Batu 3 Jalan Apas, seorang lelaki berumur 19 tahun yang ditahan memberi alasan mencari besi buruk dituduh di Mahkamah Majistret hari ini kerana melanggar PKP. Tertuduh mengaku bersalah semasa pertuduhan dibacakan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 4 hari mulai dari tarikh tangkapan.
  4. Alasan keluar untuk membeli rokok telah menyebabkan seorang lelaki ditahan di kawasan Hot Spring kerana melanggar PKP. Selain daripada melanggar PKP lelaki tersebut juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Tertuduh dihukum penjara 5 hari mulai tarikh sabitan dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
  5. Cubaan melarikan diri setelah ternampak kehadiran pihak polis menjadi sia-sia. Seorang lelaki warga asing yang gagal memberikan alasan munasabah ketika  berada di kawasan Jalan Lorong Taman Perindustrian Leeka hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana melanggar PKP. Tertuduh yang mengaku bersalah semasa pertuduhan dibacakan berdepan hukuman penjara selama 5 hari mulai dari tarikh sabitan dan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Bin Imran dan Pegawai Pendakwa ASP Dg Nur Azarinawaty Binti Ag Kachee. Kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Dzul Elmy Yunus.

Tahukah anda kesan jangka panjang terutamanya kepada remaja yang ditangkap dan dikenakan hukuman penjara akibat ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini? Seorang pengguna Facebook telah memuat naik status akibat ingar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Pengguna tersebut, Hj Asmadi Hj Amir adalah merupakan seorang warden penjara telah menyatakan walaupun kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan adalah dalam kategori kesalahan kecil berbanding kesalahan jenayah lain, namun kesannya dirasai sehingga akhir hayat terutama pesalah kategory remaja/kanak-kanak



Antaranya adalah seperti berikut:

1. Pesalah akan terasing dari keluarga dan tiada lawatan dari ahli keluarga dibenarkan sehigga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat. Bayangkan sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan untuk tempoh yang panjang.

2. Rekod sebagai banduan akan kekal sehingga akhir hayat dan peluang untuk mendapatkan kerja sebagai penjawat awam sudah tertutup. Untuk yang berniat menjadi tentera, polis dan warden penjara sudah boleh lupakan niat dan cita-cita anda kerana seorang banduan tidak boleh menjawat jawatan tersebut.

3. Hukuman maksimum adalah 6 bulan dan pesalah juvana yang akan mengambil peperiksaan besar seperti UPSR, PT3, SPM dan yang lain-lain pasti akan ketinggalan mata pelajaran dan kemungkinan tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut.

Agak serius juga kesan yang bakal dialami. Kepada para ibu bapa, sayangilah masa depan anak anda. Seperti kata pepatah melayu, sayangkan anak tangan-tangankan. Hanya kerana anda tidak mahu menegur dan mengawasi anak anda untuk duduk dirumah, masa depannya mungkin akan hancur dengan rekod sebagai seorang banduan/pernah dipenjarakan.