Ticker

6/recent/ticker-posts

Perkhidmatan Bas Espress Tawau - KK

Macam agak lama kami tidak update. Sepatutnya, kami mahu update pasal Konsert Lagenda Rock yang baru diadakan pada 1 Oktober lepas. Tapi, terlalu banyak kecacatan yang kami lihat membuatkan kami tidak mahu menulis sesuatu yang akan menyinggung pihak pengajur. Apa pun, kita lupakan Konsert yang lebih kepada taraf karaoke itu dan tumpukan ke sesuatu yang lebih penting.

Minggu lepas, kami sempat menggunakan perkhidmatan bas ekspress Tawau - KK kerana ada urusan kerja di Kota Kinabalu. Sudah lama sebenarnya kami ingin menulis pasal perkhidmatan ini. Kali terakhir kami menggunakan perkhidmatan ini ialah pada bulan Jun tahun ini. Sebelum itu, hampir 6-7 tahun juga kami tidak naik bas Tawau - KK.

Secara keseluruhannya, banyak peningkatan yang ketara dapat kami lihat terutamanya dari segi bas itu sendiri. Hampir semua syarikat pengangkutan mempunyai bas baru dan itu sesuatu yang sangat baik. Namun begitu ada beberapa kelemahan kecil yang kami rasa boleh diperbaiki seperti tambang yang selaras untuk setiap masa. Ini kerana, pada musim perayaan, kadar tambang akan dinaikkan sehingga ke RM 71. Selain itu, kenapa tidak semua pengusaha bas ekspress ini bekerjasama untuk membina satu hentian pertengahan jalan yang lebih selesa. Ada satu tempat perhentian yang dimiliki oleh sebuah pengusaha bas ekspress di sekitar simpang tiga Sandakan, tandasnya sedikit tidak selamat dengan pintu yang berlubang dan air yang keruh. Ini menyebabkan kami tidak rasa selesa untuk membuang air besar mahupun kecil kerana takut diintai oleh orang lain. heh. Rasanya, tidak salah jika para pengusaha bas ekspress bekerjasama untuk mewujudkan satu hentian khas yang lebih selesa dan moden. Situasi menang-menang.!

Apa pun, kami agak berpuas hati dengan perkhidmatan bas ekspress di Tawau kerana ada banyak peningkatan berbanding beberapa tahun dahulu. Sekarang, mari kita sama-sama berdoa supaya jalan Kalabakan - Keningau dapat disiapkan dengan lebih cepat supaya jarak perjalanan antara Tawau - KK akan menjadi lebih pendek. Duduk 8 jam dalam bas boleh membuatkan bontot berdarah.


Post a Comment

0 Comments