There was an error in this gadget

Saturday, February 19, 2011

398 Nelayan Di Tawau Terima Bantuan Elaun Sara Hidup

TAWAU, 19 Feb (Bernama) -- Seramai 398 nelayan di sini hari ini menerima bantuan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 seorang bagi meringankan beban hidup golongan itu.

Bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM79,600 dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Berucap merasmikan program itu, Tawfiq yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tawau berkata pemberian elaun itu membuktikan keseriusan kerajaan membantu golongan miskin dan miskin tegar di Sabah.

Tawfiq bagaimanapun mengingatkan nelayan supaya tidak menjadikan elaun sara hidup itu sebagai punca pendapatan utama sebaliknya hanya sebagai pendorong kepada mereka untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan pendapatan.

"Kerajaan begitu tegas dan serius menangani isu kemiskinan tegar dan miskin kerana ia merupakan punca kepada banyak masalah yang berlaku dalam masyarakat. Disebabkan kemiskinanlah ramai anak-anak tidak dapat bersekolah.

"Sebab itu, kita mahu kaum nelayan mengubah sikap. Elaun sara hidup itu harus dijadikan sebagai pendapatan tambahan. Kalau perlu, ia ditabung dan dijadikan modal untuk pelbagaikan sumber ekonomi berasaskan sumber laut," katanya.

Sementara itu, Pengarah LKIM Sabah Jamaludin Osman berkata sejak Jun 2008 hingga Febuari 2011, sebanyak RM34,310,000 telah diberi sebagai elaun sara hidup kepada nelayan Sabah dan daripada jumlah itu RM2,472,600 untuk nelayan Tawau.

BERNAMA

P.S : ini satu berita baik kerana selama ini kita selalu mendengar nasib nelayan tidak terbela. Sekarang, tiap-tiap bulan sudah ada elaun sara diri. Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak berusaha. Orang cuma boleh tunjukkan pintu. Yang membuka pintu untuk masuk ialah kita sendiri. Pastikan orang Tawau sentiasa berdaya saing maju.

No comments:

Post a Comment